Advertising

Monday, September 1, 2008

Ramadhan Ini

Kedatangan bulan yang penuh bermakna buat umat Islam diseluruh dunia. Bulan penuh keberkatan, iaitu bulan Ramadhan Al Mubarak. Umat Islam berpuasa disiang hari diselangi amalan ibadah.

Ibadat puasa adalah peluang terbaik untuk membentuk keperibadian diri cemerlang baik dari segi kerohanian mahupun aspek kesihatan fizikal. Keagungan ibadat puasa dapat diperhatikan dengan memahami fadilat dan hikmah pensyariatan ibadat mulia ini.

Puasa membentuk insan bertakwa. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Kamu semua diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu semua bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Makna takwa adalah mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi berpuasa dalam erti kata sebenar termasuk mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, tidak melaga-lagakan sesama umat dan tidak berniaga secara haram.

Orang berpuasa juga dianugerahkan kedudukan tinggi di sisi Allah yang mana mereka tergolong di kalangan para shiddiqin (orang yang benar) dan syuhada (golongan syahid).

'Amr bin Murrah al-Juhani berkata: "Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Ya Rasulullah. Menurut pendapatmu, aku tergolong dalam golongan mana jika ada bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa pada Ramadan dan solat tarawih pada malam harinya? Baginda menjawab: Golongan shiddiqin dan syuhada." (Hadis riwayat Ibn Hibban)

Ganjaran pahala untuk ibadat puasa ini ditetapkan oleh Allah tanpa batasan. Dia berhak memberi seberapa banyak ganjaran kepada hamba-Nya menurut kehendak-Nya. Oleh itu, setiap individu perlu merebut peluang itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap amal kebaikan Bani Adam pahalanya (ditulis oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ternyata ganjaran pahala daripada Allah tiada tolok bandingnya untuk hamba yang mengerjakan ibadat puasa. Oleh itu, kerjakanlah dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Semoga kita mencapai ganjaran paling maksimum melaluinya.

InsyaAllah
Alhamdulillah masih diberi peluang menunaikan tanggungjawab ini.

Salam
skullsplitter
*Kasih. Thanks!

No comments: