Bercerita tentang nikmat, setiap hari kita dikurniakan nikmat tak terhingga, nikmat yang sentiasa wujud dalam setiap detik yang kita lalui sepanjang perjalanan hidup ini. Ianya mengajar aku, kamu dan dia untuk mensyukuri segala nikmat diberi. Ramai berpendapat nikmat itu datang hanya untuk perkara yang baik. Bagaimana dengan kesukaran dan kepayahan? Bukankah itu nikmat?
Dari mata fikiran aku, nikmat itu aku gambarkan sesuatu yang diberi untuk kesenangan, kegembiraan, pengajaran dan ilmu bagi memberi ruang aku mengingati akan DIA yang memberi. Kesukaran dan kepayahan ingin sekali aku jadikan pengajaran dalam menempuh hidup yang penuh dugaan rekaan manusia ini. Mengapa aku berkata begitu? Kerana setiap perkara yang baik atau buruk sememangnya datang terus terdetik didalam hati kita yang boleh aku katakan ilham darinya. Kita dikurniakan akal untuk menerima dan membenarkan. Sekiranya baik maka baiklah jadinya, sekiranya jahat, buruklah jadinya. Jadi dugaan ini boleh dikatakan kesukaran rekaan manusia yang membenarkan kejahatan lebih dari kebaikan.
Sememangnya dugaan adalah kehendakNya bagi memberi sedikit pengajaran kepada hambaNya. Tetapi adakah kita mensyukuri pengajaran yang diberi atau sekadar mengeluh? Ini yang mendatangkan kesukaran yang lebih dasyat kerana kehidupan orang yang tidak bersyukur sentiasa tertekan dan gagal memanfaatkan apa yang dimilikinya. Bila akal terganggu, tiada ketenangan menerima qada dan qadar Nya, adakah kita mampu berfikir secara waras? Tidakkah ini memberi gambaran negatif dan lebih buruk? Bukankah ini rekaan kita sendiri? 'Yang kecil dibesarkan, Yang besar dikecilkan'.
“Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152).
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).
Jadi, syukur keatas segala pemberiaan nikmat dan kesengsaraanNya adalah jalan terbaik bagi aku menempuh ranjau dunia ini. Agar aku sentiasa bersyukur, berterima kasih atas pemberian dan pengajaran darpadaNya. Alhamdulillah.
Salam
skullsplitter
No comments:
Post a Comment